Rabu, 28 Jun 2017

Mohd. Safee ke Selangor?



ARKIB : 18/07/2006
Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUCHING – Penyandang juara Piala Malaysia, Selangor dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang berbisa Sarawak, Mohd. Safee Sali bagi memantapkan jentera serangan pasukan musim depan.

Turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang mendapatkan jolokan ‘SuperMokh’ itu ialah juara Piala Malaysia 2001, Terengganu.

Difahamkan Selangor yang menjulang tiga kejuaraan musim lalu membuat tawaran terus kepada Mohd. Safee.

Bagaimanapun sumber memberitahu, tawaran pertama itu ditolak oleh Mohd. Safee menyebabkan Selangor mengemukakan tawaran baru yang lebih tinggi.

Terengganu yang telah melayakkan diri ke Liga Super pula turut menyatakan minat yang sama dan difahamkan telah mengadakan perundingan dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak.

Begitupun sehingga kini belum ada keputusan mengenai kedua-dua tawaran tersebut sama ada dari Safee ataupun pihak persatuan sendiri.

Selangor yang berdepan kemungkinan kehilangan kejuaraan ketiga yang disandang musim lalu terdesak untuk mencari penyerang berbisa selepas kehadiran bekas bintang Real Madrid, Perica Ognjenovic langsung tidak memberi sebarang impak dalam kempen Piala Malaysia sekarang.

Mohd. Safee, pemain kelahiran Perak yang muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol ketika bersama Kuala Lumpur musim lalu meneruskan kecemerlangan apabila menjaringkan 11 gol dalam kempen Liga Perdana bersama Sarawak musim ini.

Dua jaringannya membantu Sarawak menang dua perlawanan awal Piala Malaysia ke atas PKNS Selangor dan Pahang.

Larian deras, lincah, bertubuh sasa dan sepakan kencang sehingga mendapat jolokan Supermokh, Mohd. Safee turut membarisi pasukan Bawah 23 kebangsaan yang beraksi pada Sukan SEA tahun lepas.

Ketiadaan Mohd. Safee amat dirasai oleh Sarawak apabila tewas 1-2 kepada Perlis dalam perlawanan Piala Malaysia Kumpulan C di tangan Perlis di Stadium Sarawak, Sabtu lalu.

Sementara itu, khabar angin mengenai hasrat Selangor untuk mendapatkan Mohd. Safee mulai heboh diperkatakan oleh para peminat pasukan Sarawak dan mereka berharap agar Mohd. Safee terus kekal bersama pasukan Bujang Senang.

Malahan para penonton yang menyaksikan perlawanan Sarawak-Perlis Sabtu lalu membawa kain rentang yang tertera rayuan supaya Mohd. Safee kekal bersama Sarawak pada musim depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4lIBkwxzX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan